Friday 16 February 2018

Pengambilan air tulang belakang selamat, penting untuk kesan kuman serang otak



MITOS menganggap prosedur Lumbar Puncture (LP) iaitu mengambil cecair air tulang belakang atau 'Cerebrospinal Fluid' (CSF) antara sebab berlakunya lumpuh dan kecacatan kepada individu yang menjalani prosedur berkenaan. Anggapan ini adalah antara sebab utama menghalang pakar perubatan untuk mengenal pasti sesuatu penyakit sebelum memberikan rawatan sewajarnya.
Prosedur LP adalah kaedah terbaik bertujuan mengenal pasti penyakit pada otak dalam kalangan pesakit semua peringkat usia.
CSF adalah cecair yang mengalir dalam sistem otak dan juga saraf tunjang, ada beberapa tujuan kenapa air tulang belakang ini diambil. Keadaan CSF akan berada dalam keadaan tidak normal jika ada beberapa penyakit otak dan saraf.


Pakar Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin, berkata pakar melihat beberapa uji kaji dalam cecair CSF untuk mengenal pasti pelbagai sel kuman, sel darah putih, darah merah dan protein.
Prosedur LP ini kata beliau, tidak dilakukan sewenang-wenangnya kepada semua pesakit. Pakar hanya akan melakukannya terhadap pesakit tertentu selepas menimbangkan risiko serta kepentingannya.

PAKAR Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin. - Foto Aziah Azmee
Kenal pasti jangkitan
Antara tujuan utama prosedur LP ini adalah untuk mengenal pasti jangkitan kuman di dalam otak yang dikenali sebagai meningitis atau encephalitis.
Kedua-dua jangkitan di dalam otak ini katanya, adalah sangat bahaya dan harus dikenal pasti menerusi prosedur LP secepat mungkin.
Jika jangkitan berada pada tahap serius dan lambat diberi rawatan, beliau berkata jangkitan boleh merebak dengan cepat dan berisiko meragut nyawa.
Prosedur LP ini juga dilakukan bertujuan mengenal pasti sel barah di otak serta penyakit saraf seperti `Multiple Sclerosis' atau `Guillain-Barre Syndrome'.
Katanya, ketika prosedur berlangsung, kebiasaannya pesakit diberi ubat pelali bagi mengelak sebarang kesakitan dan pergerakan. Ia seperti prosedur mengambil darah menggunakan jarum halus, tanpa meninggalkan sebarang parut atau lubang.

TUJUAN utama prosedur LP ini adalah untuk mengenal pasti jangkitan kuman di dalam otak yang dikenali sebagai meningitis atau encephalitis. - Foto Aziah Azmee
Prosedur suntikan satu jarum
"Prosedur ini tidak mengambil masa yang lama dan hanya dilakukan di dalam bilik prosedur hospital dengan persekitaran yang bersih. Sebelum memulakan prosedur, pesakit baring secara mengiring, kaki dan badannya dibengkokkan sedikit.
LP mesti dilakukan oleh pakar membabitkan prosedur suntikan dengan memasukkan satu jarum halus di hujung tulang belakang. Jarum tidak akan terkena pada tulang atau saraf tunjang, hanya berada di kawasan cecair pada saraf tunjang.
"Kemudian cecair CSF ini mengalir keluar secara sedikit dan perlahan-lahan untuk dikumpulkan sampel. Jumlah CSF ini yang diambil pula dalam jumlah yang sedikit, kemudian dimasukkan dalam tiga hingga lima tiub berasingan.
Sampel air tulang belakang ini dikumpul di dalam bekas steril sebelum dihantar terus ke makmal perubatan," katanya.

LUMBAR Puncture mesti dilakukan pakar kerana membabitkan prosedur suntikan dengan memasukkan satu jarum halus di hujung tulang belakang. Jarum tidak akan terkena pada tulang atau saraf tunjang, hanya berada di kawasan cecair pada saraf tunjang. - Foto Aziah Azmee
Salah faham masyarakat 
Terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai prosedur LP ini. Tanpa penjelasan terperinci pesakit dan juga waris beranggapan kaedah berkenaan memberi kesan negatif seperti lumpuh, cacat dan sakit tulang belakang berpanjangan.
Prosedur LP adalah seperti kaedah "Epidural" yang semakin popular dalam kalangan ibu bersalin untuk menahan sakit dan "Spinal Anaesthesia", iaitu bius separuh badan.
Umum sering terkeliru dengan menyamakan LP dengan prosedur pengambilan air sum sum tulang atau "Bone marrow aspiration (BMA) ". Sedangkan prosedur BMA bertujuan mengenal pasti serangan penyakit leukemia atau kanser darah dan tidak ada kaitannya dengan penyakit otak atau saraf.
Sebelum memulakan prosedur LP, pakar akan mengadakan sesi kaunseling bersama ibu bapa atau waris pesakit untuk memberi penerangan mengenai prosedur berkenaan dan mendapatkan keizinan daripada mereka.
Pada masa sama pula, keluarga pesakit boleh mendapatkan rujukan tambahan (second opinion) daripada pakar lain mengenainya. Namun begitu keizinan daripada pihak waris tidak harus dilengahkan bagi membolehkan prosedur dilakukan secepat mungkin dan rawatan dilaksanakan segera.
Menerusi prosedur ini juga, Dr Mohd Feizel Alsiddiq berkata, pakar dapat mengenal pasti jenis kuman serta apakah penyakit serta antibiotik paling sesuai untuk melawan kuman berkenaan. Kaedah ini memudahkan doktor mengenal pasti jangkitan kuman dalam otak pesakit.
Komplikasi minimum 
Ada kes tertentu tidak membenarkan pakar melakukan prosedur LP berkenaan seperti dalam situasi pendarahan di dalam otak, tekanan otak yang tinggi, `cerebral edema' atau pesakit yang mempunyai masalah tekanan darah tidak stabil.
Seperti juga semua prosedur perubatan, ada sedikit risiko berlakunya komplikasi namun ianya jauh lebih rendah berbanding prosedur atau pembedahan biasa yang lain seperti `appendicectomy' atau pembedahan kelahiran `caesarean'.
Antaranya kesan lebam pada tempat berkenaan, sakit kepala, sakit pada tempat suntikan dan sedikit pendarahan. Namun harus ditegaskan bahawa peratusannya sangat rendah kurang satu peratus dan komplikasi ini semua minimum dan bersifat sementara.
Komplikasi yang sering dikaitkan oleh masyarakat seperti kematian, lumpuh serta kecacatan kekal akibat prosedur LP ini tidak akan berlaku.
Keadaan lumpuh serta kecacatan pesakit terjadi adalah disebabkan penyakit serangan jangkitan otak yang serius dan lambat dirawat. LP hanyalah antara prosedur yang harus dilakukan untuk merawat pesakit yang disyaki mengalami jangkitan otak dan bukan penyebab kepada komplikasi penyakit otak atau saraf berkenaan.
Jika masyarakat boleh menerima prosedur "Epidural" serta "Spinal Anaesthesia" sebagai selamat, tiada sebab masyarakat harus takut dengan prosedur LP yand sebenarnya adalah prosedur yang sama.
Prosedur ini tidak akan mengurangkan kandungan CSF dalam otak atau badan pesakit kerana cecair berkenaan sentiasa dihasilkan secara semula jadi.
LP mengambil kira memilih bahagian hujung tulang belakang kerana di situ kawasan yang paling selamat dan jauh dari saraf tunjang. Kaedah ini selamat untuk bayi baru lahir hinggalah kepada individu berusia.
INFO: Proses pengambilan cecair air tulang belakang (CSF) 
    Di sesetengah negara prosedur ini tidak perlu kebenaran waris kerana diperakui selamat
    Prosedur dalam tempoh 10 hingga 15 minit
    Jumlah air tulang belakang yang diambil 1.0 - 1.5 mililiter
    Tempat paling sesuai - antara dua vertebra L4 dan L5 kerana bahagian ini paling selamat
    Bahagian berkenaan akan dicuci supaya bebas daripada kuman
    Cecair air tulang belakang (CSF) yang normal tidak berbau, tidak dijangkiti kuman berwarna jernih
    CSF yang dijangkiti kuman akan keruh dan lebih pekat
    Rawatan pesakit ditentukan berdasarkan hasil keputusan ujian cecair terbabit.
    Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment