Showing posts with label Solat Sunat. Show all posts
Showing posts with label Solat Sunat. Show all posts

Monday, 16 April 2018

Cara Sujud Sahwi Bila Terlupa Rakaat Dan Doa Qunut




“Rasanya aku lupalah nak baca doa qunut tadi. Apa patut buat aku buat ya?”
Kita sebagai hamba Allah yang lemah memiliki banyak kekurangan. Kita tak akan terlepas dari sifat lupa atau leka walaupun ketika beribadah kepadaNya. Sujud sahwi adalah cara untuk menutup kekurangan dalam solat fardhu.
Cara Solat Dhuha Yang Mudah, Ringkas & Betul. Dengan Doa!
Foto Kredit: nev.it

HUKUM SUJUD SAHWI

Sahwi bererti lupa. Menurut Imam merangkap Penolong Pengarah Pembinaan Sakhsiah Masjid Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Zuhairee Mohd Yatim, sesuai dengan namanya, sujud sahwi ini dilakukan adalah untuk menampung beberapa jenis kesalahan yang dibuat ketika solat akibat lalai atau terlupa. Antara kesalahannya adalah terlupa melakukan salah satu sunat ab’adh, iaitu tahiyat awal dan doa qunut.
Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada al-Mughirah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang kamu berdiri sesudah dua rakaat tetapi ia belum sampai sempurna berdiri, maka hendaklah ia duduk kembali (untuk tasyahud pertama) tetapi jika ia sudah berdiri dengan sempurna, maka jangan ia duduk kembali dan hendaklah ia sujud dua kali (Sujud Sahwi)”. (Riwayat Ahmad)
Selain itu, ia juga dianjurkan sekiranya kita berasa ragu-ragu terhadap bilangan rakaat. 
Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, di mana Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِـيْ صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى؟ ثَلاَثًا أَوْ أَرْبَعًـا؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَـا اسْتَيْقَنَ ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَـانَ صَلَّى خَمْسًا شَفِعْنَ لَهُ صَلاَتُهُ، وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا ِلأَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيْمًا لِلشَّيْطَانِ.
“Jika salah seorang di antara kamu ragu dalam solatnya sehingga dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dia lakukan, tiga rakaat atau empat rakaat. Maka hendaklah ia tepis keraguan itu dan ikutilah yang dia yakini. Setelah itu, hendaklah dia sujud dua kali sebelum salam. Jika ternyata dia mengerjakan lima rakaat, maka dia telah melengkapkan solatnya. Namun, jika dia mengerjakan empat rakaat, maka dua sujud tadi adalah penghinaan bagi syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i RA)
Sujud sahwi hukumnya adalah sunat. Ini bermakna, tidaklah batal solat seseorang jika tidak dilakukan.
cara sujud sahwi
Foto Kredit: jebateja.blogspot.com

CARA SUJUD SAHWI YANG LENGKAP

Walaupun hukumnya sunat, eloklah kita melakukannya apabila perlu. Ini kerana, cara sujud sahwi sebenarnya amat mudah, iaitu seperti berikut:

1. NIAT

Sujud sahwi perlu diniat terlebih dahulu pada penghujung rakaat terakhir. Sesudah tahiyat akhir, sebelum memberi salam, takbir dan sujud dengan lafaz sujud sahwi.
*Menurut kuliah Ustaz Don Daniyal, jika kita sudah berniat mahu melakukan sujud sahwi, duduk tahiyat akhir seeloknya dalam keadaan duduk antara dua sujud.

2. SUJUD

Lafaz ini dibacakan 3 kali dalam sujud sahwi:
سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ
Subhana Man Laa Yanaamu Walaa YasHuu
Maksudnya: Maha suci Allah, zat yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa

3. DUDUK ANTARA DUA SUJUD

Selepas membaca lafaz tersebut, bangun daripada sujud dan duduk dalam posisi di antara dua sujud, sama seperti yang biasa kita lakukan dalam solat. Bacaan juga sama seperti duduk antara dua sujud.

4. SUJUD SEKALI LAGI

Sesudah itu duduk kembali pada posisi duduk di antara dua sujud dan lakukan sujud sahwi sekali lagi. Kemudian duduk dalam keadaan tahiyat akhir dan beri salam seperti biasa (tak perlu mengulang bacaan tahiyat akhir sekali lagi).
cara sujud sahwi
Foto Kredit: photo.elsoar.com

BAGAIMANA KALAU TERTINGGAL PERBUATAN YANG TERMASUK DALAM RUKUN SOLAT?

Setakat ini, kita dijelaskan bahawa kita digalakkan melakukan sujud sahwi apabila kita terlupa sesuatu perbuatan sunat ab’adh, iaitu doa qunut atau tahiyat awal yang tidak termasuk dalam 13 rukun solat.
Jadi, apakah yang sepatutnya kita lakukan jika kita terlupa melakukan perkara yang termasuk dalam rukun (contohnya membaca al-fatihah atau rukuk)?
Menurut kuliah ini, kita tidak boleh menggantikan perkara yang tertinggal tadi dengan sujud sahwi semata-mata. Contohnya, kita terlupa membaca al-fatihah pada rakaat ketiga dalam solat maghrib. Maka, kita perlu membaca al-fatihah yang tertinggal tadi dengan cara mengulang rakaat ketiga secara keseluruhannya (kerana rakaat ketiga tadi tidak dikira sempurna). Sebelum mengakhiri solat, barulah kita melakukan sujud sahwi.
Cara Solat Istikharah Ringkas Dengan Bacaan Doa!
Foto Kredit: garyschapman.com

HIKMAH SUJUD SAHWI

Sujud sahwi sangat dituntut untuk membaiki solat kita yang cela. Allah yang Maha Penyayang masih boleh menerima ibadah kita walaupun ada cacat celanya.
Segala amalan yang dituntut dalam Islam pasti ada hikmahnya. Dalam perihal sujud sahwi, kita sebagai hamba banyak kekurangannya. Maka, Rasulullah SAW mengajar kita cara sujud sahwi sebagai salah satu cara menutup kekurangan kita.
Kita sebagai hamba perlu segera memohon keampunan kepada Allah jika khilaf. Hanya kepada Allah tempat kita bersujud dan memohon keampunan atas kealpaan kita.
Semoga amal ibadat kita diterima oleh Allah.

Sumber : siraplimau.com

Tuesday, 6 March 2018

Panduan Solat Sunnat Istikharah

Solat Sunnat Istikharah
Solat ini dilakukan untuk mendapatkan petunjuk, terutama bila seseorang dalam keraguan memutuskan mana yang terbaik diantara dua perkara yang diragukan. Jika timbul keraguan dalam hati untuk memilih atau mengambil keputusan dalam sesuatu perkara, contohnya: apakah aku harus menolak atau menerima? Keraguan makin terasa, keputusan tidak dapat dipastikan setelah melihat masing-masing ada kelebihan dan keburukannya.

Oleh yang demikian, hendaklah menyerahkan pada Yang Maha Kuasa untuk memilihnya. Sebelum seseorang mengambil keputusan ia dianjurkan solat istikharah dua rakaat.

Dengan mengharapkan agar ditunjukkan Allah untuk mendapatkan pilihan yang terbaik. Jika keraguan masih mempengaruhi fikiran untuk menentukan pilihan, ulangilah solat istikharah dan membaca doanya, walaupun pengulangan sampai 7 kali berturut-turut. Selepas itu, bertawakkal kepada Allah, pilihlah salah satu daripadanya, ambillah yang mana arah ‘hati’ lebih cenderung setelah berdoa. Jangan menimbulkan lagi keraguan, yakinlah bahawa itu adalah pilihan terbaik dari yang Maha Kuasa.

Jangan merasa kecewa andai ternyata dalam keputusan yang dipilih menimbulkan keinginan yang tidak disukai. Ingatlah bahawa ini adalah yang telah digariskan pada azali yang tidak dapat dielakkan, besar kemungkinan mengandungi hikmah, membawa kebaikan dimasa akan datang, hendaklah tetap mempunyai husnuz-zan kepada Allah.

Tata Cara Shalat Istikharah
Tata cara solat istikharah lebih kurang sama dengan solat subuh, Hanya niatnya saja yang berlainan, iaitu berniat solat istikharah. dilaksanakan sebelum tidur ataupun setelah bangun tidur. Sangat baik dilakukan sesudah lewat tengah malam disaat sunyi, supaya hati lebih khusyuk dalam mengemukakan permohonan kepada Allah. Solat ini sangat peribadi sifatnya. Sebab itu harus dikerjakan sendirian. Solat ini tidak memakai azan atau iqamah.

Lafaz niat:-
Ushalli Sunnatal Istikharaati Rak’ataini Lillahi Ta’aala
Sahaja Aku sembahyang sunnat istikharah 2 rakat tunai kerana Allah Ta’ala

Rakaat pertama-
Baca surah Al-fatihah dan surah Al-kafirun

Rakaat kedua-
Baca surah Al-fatihah dan surah Al-ikhlas
Selepas salam, bacalah doa yang disarankan dalam istikharah.
Dalam berdoa sebaiknya menyebutkan permintaan yang ingin diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t. misalnya: “Ya Allah, jika hal ini….(sebutkan namanya)”


Doa istikharah

Setelah selesai solat, berdoa seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW:

doa-istikhaerah
Allaahumma inni astakhiiruka bi’ilmika, wa astaqdiruka biqudratika wa as aluka min fadhlikal azhiim. Fa innaka taqdiru wa laa aqdiru, wata’lamu wa laa a’lamu, wa anta allaamul ghuyuub.
Allaahumma inkunta ta’lamu anna haadzal amra khairun lii fii diinii wama’aasyii wa ‘aaqibati amrii, ‘aajili amrii wa aajilihi faqdurhu lii wa yassirhu lii tsumma baarikliifiihi. Wa inkunta ta’lamu anna haadzal amra syarrun lii fii diinii wa ma’aasyii wa ‘aaqibatu amrii ‘aajili amrii wa aajilihi fashrif annii washrifni ‘anhu waqdur liyal khairahaytsu kaana tsumma ardhinii bihi, innaka ‘alaa kulli syai-in qadiir
Ertinya:-
“Ya Allah, aku memohon petunjuk memilih yang baik dalam pengetahuanMu, aku mohon ditakdirkan yang baik dengan kudratMu, aku mengharapkan kurniaMu yang besar. Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hambaMu yang dhaif. Engkau Maha Tahu dan aku adalah hambaMu yang jahil. Engkau Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang tersembunyi.
Ya Allah, jika hal ini (***) dalam pengetahuanMu adalah baik bagiku, baik pada agamaku, baik pada kehidupanku sekarang dan masa datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah aku berkah daripadanya.

Tetapi jika dalam ilmuMu hal ini (***) akan membawa bencana bagiku dan bagi agamaku, membawa akibat dalam kehidupanku baik yang sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Semoga Engkau takdirkan aku pada yang baik, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

Sunday, 11 February 2018

Solat Sunat Rawatib


Rawatib berasal daripada perkataan ‘raatib‘ yang bermaksud berterusan. Oleh kerana itu Solat Sunat Rawatib dilakukan beriringan secara berterusan sebelum dan selepas solat fardhu lima waktu.
Solat Sunat Rawatib biasa juga disebut solat sunat Qabliyyah (sebelum) dan sunat Ba’diyyah (selepas). Ia merupakan pendamping atau pelengkap bagi solat wajib yang bertujuannya untuk mencari keredaan Allah di samping menampung sebarang kekurangan ketika melakukan solat fardhu.
.
Selepas azan Zuhur dianjur mengerjakan solat Qabliyyah dua rakaat. Apabila cukup waktu kerjakanlah dua rakaat lagi. Setelah selesai solat fardhu Zuhur, kerjakanlah solat Ba’diyyah dua rakaat pula, bila ada masa tambahkanlah dua rakaat lagi.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka” (H.R. Abu Daud & Tirmidzi)
Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.” (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi r.a.)
Pada Solat Sunat Rawatib sebelum Asar (Qabliyyah) adalah dua hingga empat rakaat manakala selepas Asar tidak ada rawatib Ba’diyyah.  Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka” (H.R. At-Tabrani)
.
Selepas solat fardhu Maghrib kita boleh melakukan Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah sebanyak dua rakaat dan solat Maghrib tidak ada Rawatib Qabliyah. Pada solat Isyak terdapat dua rakaat Solat Sunat Rawatib Qabliyyah dan dua rakaat Ba’diyyah. Adapun untuk solat Subuh, hanya ada dua rakaat sebelumnya (Qabliyyah), Solat Subuh tidak ada Solat Rawatib Ba’diyyah malah makruh solat selepas subuh.
.
Terdapat beberapa hadis yang menerangkan mengenai keutamaan Solat Sunat Rawatib. Jumlah yang mu’akkad (digalakkan) ialah 10 raka’at atau 12 raka’at, dalilnya:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ حَفِظْتُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ
Dari Ibnu Umar bahawa; “Rasulullah SAW tidak meninggalkan solat (sunat) 10 rakaat iaitu 2 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat sesudahnya Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat seusai Isyak (juga di rumah) dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.” (HR Bukhari-Muslim, Bukhari)
.
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْ السُّنَّةِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ
Dari Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan  solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat  selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.” (Hadis riwayat Turmizi r.a.)
.
.
Solat sunat Rawatib yang mu’akkad
Solat 2 raka’at sebelum solat fardhu Subuh.
Solat 2 raka’at sebelum solat fardhu Zuhur atau Juma’at.
Solat 2 raka’at selepas solat fardhu Zuhur atau Juma’at.
Solat 2 raka’at selepas solat fardhu Maghrib.
Solat 2 raka’at selepas solat fardhu Isyak
.
Apabila ada kekuatan dan kelapangan lakukanlah 12 raka’at Solat sunat rawatib yang sudah tentunya lengkap dan sempurna. Jika kesibukan, cukuplah lakukan 10 raka’at sahaja.
.
.
CARA MENGERJAKAN SOLAT SUNAT RAWATIB
1. Cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib ini sama seperti dengan cara mengerjakan solat Subuh, hanya niatnya yang berbeza. Solat Sunat Rawatib Zuhur, berniat mengerjakan solat sunat rawatib Qabliyyah atau Ba’diyyah dan dikerjakan dengan cara individu (Munfarid, tidak berjamaah).
.
2.  Niat Solat Rawatib:
a.  Solat Sunat Rawatib Qabliyyah (sebelum)
Daku menunaikan solat sunat sebelum (Zuhur / Asar / Isyak / Subuh) dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.
.
b.  Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah (selepas).
Daku menunaikan solat sunat selepas (Zuhur / Maghrib / Isyak) dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.
.
3.  Antara surah-surah yang dianjurkan ulama ialah:
Rakaat 1:  Surah al-Kafirun
Rakaat 2:  Al-Ikhlas
.
.
Peringatan:
Semasa melakukan takbiratul ihram solat sunat Rawatib, wajib diniatkan sama ada solat itu Qabliyyah atau pun Ba;diyyah.
Solat sunat sebelum fardhu Subuh dan sebelum fardhu Asar tidak perlu disebut atau diniatkan Qabliyyah.
Solat-solat sunat Rawatib ini tidak dituntut berjama’ah.
Solat-solat sunat Rawatib lebih utama dikerjakan di rumah.
Jika lebih 2 raka’at, lakukan tiap-tiap 2 raka’at satu salam.
.
.
Qada solat Rawatib
Nabi Muhammad SAW sangat mementingkan dan menjaga solat-solat sunat, terutama yang mu’akkad.  Rasulullah SAW bersabda; “Dua rakaat sunat Subuh, lebih aku sukai daripada seisi dunia.” (Hadis riwayat Muslim)
Masuknya waktu solat sunat qabliyyah adalah ketika masuknya waktu solat tersebut dan ianya berakhir setelah masuknya waktu solat selepasnya. Apabila Rasulullah SAW tidak dapat melakukan pada waktunya, Baginda SAW pasti akan mengqadakan solat tersebut pada waktu berikutnya.
.
Daripada Aisyah r.a.; “Bahawa jika Rasulullah SAW tertinggal solat empat rakaat sebelum Zuhur, maka Baginda SAW melakukannya selepas Zuhur.” (Hadis riwayat Turmizi r.a.)
Daripada Kitab ‘Mughni al-Muhtaj’; “Seandainya terluput akan solat sunat yang berwaktu, disunatkan mengqadakannya.”  Maka solat sunat yang berwaktu boleh diqadakan sama seperti solat fardu.